Keratan NST bertarikh 11 Dec, 2006 ni tak ada kena mengena dengan industri ternakan kambing, tapi saya tertarik juga untuk paparkan di sini disebabkan ideanya.
Di antara petikan dalam keratan ini dinyatakan "Disebabkan persekitaran perniagaan yang semakin bersaing hebat, kita tak boleh bekerja sendirian".
Syarikat yang bergerak sendirian akan menghadapi kemungkinan ditinggalkan oleh mereka yang lebih kuat dan mempunyai strategi yang lebih baik.
Jadi langkah yang baik untuk mencapai strategi yang efektif serta mendapat tempat dalam pasaran adalah dengan melakukan "collaboration".
Bunyinya macam komplikated sikit...... mereka yang tak biasa dengan dunia korporat mungkin agak bingung dengan apa yang dimaksudkan. Mungkin saya boleh permudahkan sikit dengan apa yang saya fahami......
Dalam industri ternakan kambing yang sedang menuju momentum yang memberangsangkan ini, kita sebagai salah seorang pengusaha boleh bergabung dan bekerjasama dengan mewujudkan rangkaian yang sihat. Semakin ramai yang sama-sama tidak lokek untuk menyalurkan ilmu dan sumbangan demi kepentingan bersama, maka semakin teguh industri kita. Buangkan segala hasad dengki dan iri hati. Semakin kita berkongsi, semakin banyak juga informasi yang kita boleh garapkan. Jangan terlalu mementingkan keuntungan semata-mata kerana jika kita ikhlas dan tulus, rezeki itu akan datang melimpah ruah dengan sendirinya, InsyaAllah. I believe in that!
Diumpamakan sebatang lidi dan serumpun lidi. Tak perlu saya jelaskan kerana semua orang sudah tahu apa maksudnya.
Mungkin kita mahir dalam pengurusan kambing tetapi bab pemasaran kita kurang arif. Dengan wujudnya "collaboration" ini, mungkin kita boleh sama-sama mewujudkan rangkaian yang mungkin boleh membantu kita memasarkan hasil ternakan kita dengan lebih mudah. Sebagai balasan, mereka juga boleh menggunakan khidmat kita untuk sebarang nasihat tentang pengurusan efektif. Bukankah berbaloi.......
"Collaboration" ini juga boleh mengurangkan pergantungan kita kepada pihak kerajaan mahupun pihak ketiga. Kerana tidak semua pengusaha mengalami pengalaman yang sama. Kesukaran mendapatkan pinjaman misalnya. Cara untuk memulakan perniagaan atau apa saja. Tidak perlu kita menyerahkan bulat-bulat kepada pihak lain untuk menguruskannya. Dengan merujuk kepada mereka yang lebih berpengalaman, maka banyak kos boleh kita jimatkan. Di samping itu sekaligus menjuruskan kita terlibat secara langsung dan memahami proses tersebut dengan lebih baik.
Bayangkan kalau kita berjaya melakukan "collaboration" ini, maka kesinambungan perniagaan kita akan mampu berterusan mungkin sehingga generasi kita seterusnya......
Wallahualam.