Mendengar kata ucapan saudara Nordin Bin Mat dalam Seminar Memulakan Penternakan Kambing Secara Komersial di Malaysia dengan topiknya "Aspek Komersial dan Pemasaran Kambing" membuatkan saya berkobar-kobar dan begitu semangat. Begitu banyak info yang dikongsikan bersama untuk dijadikan sebahagian garis panduan yang boleh dimanafaatkan. Sebahagiannya juga membantu saya memperkuatkan lagi amalan penternakan yang telahpun kami gariskan untuk projek kami tu.
Secara ringkasnya, berbalik semula kepada apa yang pernah saya katakan berkali-kali sebelum ini, sebelum memulakan perniagaan dalam industri ini, kita mestilah menetapkan fokus dan matlamat kita dengan jelas. Dari situ barulah kita dapat memudahkan perjalanan biz kita di samping bersedia dengan segala kemungkinan yang akan kita hadapi.
Semasa saya menyiapkan Pelan Perniagaan saya sebelum ini, perkata utama yang menjadi topik perbincangan dengan JPH adalah analisa SWOT tentang projek yang kami jalankan. Mengenalpasti SWOT dapat memberikan gambaran asas apa yang kita fokuskan. Dan dari situ juga secara tidak langsung kita dapat membina satu persatu aspek yang perlu kita berikan tumpuan.
Dalam Seminar tersebut, beliau ada menyatakan antara faktor kegagalan bagi penternak-penternak adalah :-
>>>>> kegagalan memahami konsep sebenar penternakan kambing yang dijalankan.
>>>>> ketidakupayaan penternak meneruskan projek selepas 2 atau 3 tahun disebabkan masalah kewangan.
>>>>> dan paling utama kerana gagal mendapatkan pasaran.
Oleh itu, tetapkan konsep penternakan komersial yang menjadi tonggak perniagaan kita sebelum memikirkan corak pemasaran yang sesuai.
Antara konsep penternakan yang boleh dijadikan pilihan :
a) Pembiakan baka tulen - membiakkan kambing daripada baka-baka terbaik untuk menghasilkan anak-anak kambing yang boleh dijual sebagai baka. Baka yang dicadangkan adalah daripada baka Boer, Jamnapari, Saanen, Toggenburg, Anglo Nubian, Barbados, Dorper. Sebaiknya baka-baka tersebut mestilah mempunyai Sijil Pengesahan tentang ketulenannya.
Jumlah minimum yang disyorkan adalah 20 ekor induk dan 2 ekor Jantan. Modal permulaan RM150,000. Anggaran pendapatan bulanan RM9,500.
b) Pembiakan komersial untuk baka kacukan dan daging - bela induk kacukan dalam kuantiti besar dan guna baka pejantan tulen secara sistematik untuk hasilkan anak kambing dalam kuantiti yang banyak. baka kacukan yang dicadangkan adalah katjang, Boer, Jamnapari. Sementara baka pejantan adalah Boer, Jamnapari, Saanen, Anglo Nubian.
Anak kambing betina - dibiakkan di kandang atau dijual sebagai baka kambing kacukan.
Anak kambing jantan - digemukkan dan dijual untuk sembelihan.
Pembiakan hendaklah dilakukan secara sistematik bagi memastikan penambahbiakan genetik kepada lebih tulen dari generasi ke generasi.
c) Transit/Jual - beli kambing/bebiri daripada penternak atau pengimport untuk dijual bagi tujuan aqiqah, qurban, kenduri dan aktiviti keagamaan. Jenis kambing/bebiri - Feral, Merino, Katjang, Kambing Indonesia dsbnya.
Penternakan haruslah menetapkan harga belian dan jualan pada paras keuntungan antara RM50-RM200 seekor dan mensasarkan jualan 40 ekor - 100 ekor sebulan. Dan penternak haruslah memastikan kambing yang hendak dibeli kurang risiko untuk mati di kandang transit.
d) Fidlot dan jual - beli anak kambing jantan kacukan (kurang 20kg), digemukkan di kandang dan dijual bila cecah berat 50kg selepas 6 bulan. Anggaran pendapatan bagi 50 ekor minima adalah RM10,750 atau RM1,800 sebulan.
e) Kambing susu - jenis yang disarankan adalah Saanen, Toggenberg, Anglo Nubian. Kadar pengeluaran susu bagi baka kambing yang baik adalah di antara 4 liter - 7 liter sehari berbanding dengan kambing kacukan biasa antara 0.5 liter - 2 liter sehari.
Jumlah permulaan yang dicadangkan - 20 ekor betina tulen dan 2 pejantan tulen.
f) Pelan Persaraan - dimulakan 3 - 5 tahun sebelum bersara dengan jumlah 20 ekor - 30 ekor betina kacukan dan 1 ekor pejantan tulen. Jual anak-anak kambing jantan dan kekalkan semua kambing betina untuk dibiakkan. Selepas 5 tahun kambing tersebut boleh mencapai sehingga 500 ekor untuk diusahakan sepenuh masa selepas bersara dengan pulangan setiap bulan.
Di keluaran akan datang saya akan kongsikan sedikit tentang cadangan pemasaran berdasarkan konsep penternakan tersebut di atas. Jumpa lagi.
Sebahagian foto yang diambil semasa MAHA 2006. Akibat kesuntukan masa, ada banyak tapak pameran yang tidak sempat dirakamkan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment