Wednesday, November 08, 2006

Mulakanlah Langkah Pertama.....

Ada beberapa email yang saya terima bertanyakan tentang bagaimana untuk memulakan perniagaan ini. Satu soalan yang cukup subjektif sebenarnya, atau dengan lain perkataan, ia bergantung kepada penerimaan dan objektif masing-masing.

Cuma apa yang saya boleh kongsikan bersama di sini, bermulalah dengan "ilmu". Fahami dulu apa yang kita inginkan daripada perniagaan yang kita jalankan. Biar sekecil mana sekalipun, asalkan ada maksud yang nekad dan sentiasa beristiqamah...... Fokus itulah kuncinya.

Ada banyak kursus yang boleh kita ikuti. Bolehlah daftarkan diri dengan Jabatan Perkhidmatan Haiwan yang berhampiran dengan kawasan masing-masing. Cuma kadang-kala kita terpaksa menunggu giliran mengikut kuota yang telah ditetapkan. Kursus ini selalunya berjalan selama 5 hari dan ianya percuma. Surat tawaran akan dihantar kepada kita menyatakan tarikh dan tempat berkenaan. Pada yang bekerja, eloklah bersedia dengan cuti masing-masing.

Di samping itu, MARDI juga ada mengediakan kursus dalam bidang penternakan, malah mereka juga menyediakan kursus yang berkaitan dengan industri ini secara lebih menyeluruh dan terperinci. Kelebihannya kursus-kursus ini boleh diikuti mengikut kesesuaian masa kita, kerana kita diberikan pilihan masa dan tempat. Cuma bezanya anda perlu mengeluarkan kos antara RM800-RM1000 bergantung kepada jenis kursus.

Ada juga beberapa pengusaha yang menyediakan khidmat kursus intensif untuk bakal penternak. Misalnya pengusaha Jamnapari Malaysia (www.jamnapari.com) yang mengenakan caj RM500 untuk kursus intensif selama 3 hari 2 malam. Atau kita boleh mewujudkan rangkaian pengusaha ternakan kita sendiri sebagai rujukan kita di masa akan datang.

Atau kita boleh mengambil inisiatif membuat search sendiri melalui kuasa internet. Banyak info yang boleh kita garapkan. Saya sendiripun tidak banyak mengeluarkan modal. Selama setahun saya membuat kajian sendiri di samping berinteraksi dengan pengusaha yang berpengalaman. Tak rugi bertanya walaupun ada yang mengelak untuk menceritakan pengalaman sebenar. Lama kelamaan kita jadi serasi dan minat untuk lebih mengetahui kian bertambah.

Jika ada yang menyatakan minat untuk mengetahui lebih lanjut tentang Penternakan Kambing, saya memang terbuka untuk berkongsi cerita, sebabnya ilmu kita tak akan susut kalau kita menghebahkannya pada orang lain. Ada yang bimbang kita akan mencipta lebih banyak saingan. Pemikiran sebegini patutlah diketepikan. Sebab pemikiran sebeginilah yang akan membantutkan perkembangan perniagaan kita. Lebih banyak kita berinteraksi, sebenarnya lebih banyak pengalaman kita akan dapat, dan konsep pengurusan kita akan lebih matang.

Di samping itu, saya tidak malu untuk mengaku saya juga masih bertatih dalam bidang ini. Namun saya sentiasa berdoa semoga, kesungguhan ini akan memberikan saya jaminan bahawa setiap berkat sokongan dan restu orang tua saya yang mengiringi perjalanan saya dalam bidang ini mampu merealisasikan impian saya dalam tempoh 5 tahun akan datang.

Marilah kita sama-sama membina rangkaian yang boleh dimanafaatkan oleh anak bangsa kita dan untuk memberikan kesinambungan generasi akan datang.

Wallahualam.

2 comments:

Arip said...

good effort bro!!`

ANZ said...

Thanks arip, wish me luck.