Monday, September 10, 2007

Penangan Kenaikan Harga

Rata-rata ramai penternak, pengusaha dan pembekal merungut di atas kenaikan harga hampir sebahagian besar makanan ternakan. Lebih menggusarkan ada beberapa tempat, pengedar hampir kehabisan bekalan bila lewat menerima stok berbanding kebiasaannya. Penternak-penternak kecil seperti kita hanya terkebil-kebil. Ada yang hanya senyum sumbing garu kepala..... nak beli ke tak nak. Nak boikot? Umpama mentimun dengan durian. Digilis rosak, menggilispun rosak. Siapa yang nak dipersalahkan?

Dalam hal ni, tak siapa yang salah. Itulah lumrah perniagaan. Bila semua orang bercadang nak bela kambing, macam beli pisang goreng panas, maka permintaan terhadap barangan tupun sama-sama meletup. Sudahnya, kita sama-sama melopong.

Bagi pengeluar makanan pula, mereka pun tak salah. Tapi keadaan memaksa mereka. Dalam Malaysia ni hanya sebilangan kecil, saya kira tak sampaipun 2%, pengusaha projek ternakan mega yang memiliki ribuan ternakan kambing.... umpamanya Pusat Boer Negara atau seperti keratan NST di bawah. Tetapi, bayangkan keperluan bekalan makanan yang mereka perlukan setiap bulan. Kalau dah beli dengan banyak, adalah mustahil mereka mahu mendapatkan bekalan tersebut dengan harga yang sama seperti kita beli yang kadang kala setakat seratus dua kg (berbanding mereka yg mampu membeli seratus dua tan). Maka makin sempitlah margin keuntungan yang dapat dikecapi oleh pengeluar. Bagi menstabilkan harga, maka kerugian tu disalurkan kepada kita, penternak-penternak kecil. Kalau mereka dapat harga RM25 maka kita kenalah tanggung sebahagian perbezaan rugi. Entah-entah bila dikira-kirakan, akhirnya dapatlah kita pada harga RM32. Itupun kalau bernasib baik, bila pengusaha projek mega tu nak gandakan pesanan mereka dan mintak harga yang lebih rendah, maka kita gigit jari jelah.

Ramai yang menyuarakan pendapat supaya diwujudkan persatuan yang mampu membela nasib penternak seperti kita. Tapi ada pula 'nyamuk-nyamuk' mengkritik hebat kononnya persatuan kita takkan ke mana. Akhirnya, back to square one.

Sebenarnya, idea dan saranan yang didengar daripada penternak-penternak memang banyak yang boleh dipakaiguna malah kalau nak dikirakan memang mampu direalisasikan. Cuma dari segi perlaksanaan kita selalu main tarik-tarik tali. Bila rasa gagah kita tarik kuat, tapi bila agak-agak tak dapat tarik, kita lepas dan biarkan macam tu je. Jarang yang mahu buat secara all out. Bila perkara ni berlaku, yang berkobar-kobar jadi layu, yang tengah hangat jadi salju, yang suam-suam kuku langsung jadi beku. Kemudian, kita sorok-sorok muka menahan telinga bila kena bidas.

Saya juga ada bercadang untuk mengadakan dialog untuk penternak-penternak kecil. Buat masa ini saya sedang berusaha untuk merealisasikannya bersama JPH. Jika ada di antara saudara yang ingin bersama-sama melakukan khidmat komuniti ini, bolehlah hubungi anzfarm@gmail.com. Objektif kita cuma satu, kita ada tempat untuk mencurahkan bakti dan sama-sama dapat berjuang menjadi penternak tega yang berpengetahuan dan optimis. Mana tahu, secara tidak langsung kita mampu mewujudkan satu komuniti penternak yang boleh pergi lebih jauh melebihi pengusaha penternak mega. ITU TIDAK MUSTAHIL! Lihat saja di mana kedudukan Air Asia sekarang berbanding MAS!!!!! Fikirkanlah..............

Kesimpulannya di sini, penyelesaian sementara yang boleh kita lakukan..... carilah alternatif bekalan makanan tambahan atau semulajadi. Yang tak punya ruang utk menanam, ringan-ringankanlah mulut atau kaki mencari pembekal sisa pertanian seperti batang jagung, hampas soya, hampas gandum dan sebagainya. Ciptalah rumusan sendiri. Bagaimana? Belajarlah dari yang pandai....... usah kisah dari siapa. Sayapun masih belajar, maka belajarlah kita bersama-sama. Yang punya tanah tu, ringan-ringankanlah tangan meluaskan kawasan penanaman kita, atau paling kurang upahlah orang membuatnya, setidak-tidaknya kita sudah membantu orang lain menambahkan pendapatan. Kalau banyak, kita pula boleh tambah pendapatan. Setuju?

Wallahualam.

Sunday, September 09, 2007

Fasa seterusnya akan bermula ....



Alhamdulillah, meskipun saya jarang mengupdate blog ini, tapi saya bersyukur kerana sekurang-kurangnya segala perancangan berjalan dengan lancar meskipun terdapat beberapa item dalam Rancangan Perniagaan kami terpaksa dibuat perubahan.

Kini, saya sedang sibuk merealisasikan Fasa seterusnya yang saya jangkakan akan bermula November nanti. Moga segala perancangan tersebut mendapat petunjuk dan laluan yang lebih mudah serta menambahkan keyakinan saya untuk meneruskan usaha ini hingga tercapai segala matlamat yang kami sasarkan seterusnya.

Buat masa ini prestasi pengeluaran agak membanggakan kerana kambing-kambing di kandang sentiasa dalam keadaan stabil tanpa masalah yang membimbangkan. Anak-anak yang dilahirkan dengan berat lahir antara 2.4kg - 5kg dan peratusan kembar 2 sehingga 98%. Sementara anak satu dan kembar 3 masing-masing dengan kadar 1 %. Pada peringkat awal kadar kematian anak agak tinggi kerana kurang pengalaman, tetapi alhamdulillah, kini segalanya terkawal. Rupanya penjagaan anak kambing tidaklah serumit mana. Tempoh 24 jam pertama sahaja yang agak kritikal. Sekiranya berjalan lancar, InsyaAllah pemantauannya akan lebih mudah. Anak2 kambing ini akan diberi suntikan seawal umur 2 hari. Begitu juga dengan ibu.

Fasa seterusnya menumpukan perhatian kepada pembangunan prasarana, pertambahan stok dan aktiviti trading. Tambahan pula dengan musim perayaan yang kian menjelang. Saya pasti ramai penternak akan mengambil peluang untuk menambahkan keuntungan atau setidak-tidaknya menambahkan "duit poket" buat belanja raya.



Dalam meningkatkan tahap pengeluaran dan aktiviti pemasaran yang lebih luas, kami akhirnya bersepakat untuk merealisasikan konsep Inkubator dan konsep KongsiTernak dalam Fasa itu nanti. Jadi pada sesiapa yang berminat samada individu mahupun syarikat untuk bekerjasama dalam projek ini, bolehlah terus menghubungi Puan An 013 - 446 6944. Kertas Kerja terperinci juga telah disediakan untuk perbincangan.

Dalam merealisasikan Fasa ini, kami akan melakukan beberapa perkara berikut, antaranya:
  • Membesarkan kandang kepada 40’ x 75’ daripada kandang asal yang hanya berukuran 1680 kaki persegi.
  • Memperluaskan kawasan penanaman rumput Napier kepada 10 ekar (buat masa ini hanya 3 ekar).
  • Menyediakan perigi menggunakan pam air dan tangki air sebagai alternatif untuk bekalan air semulajadi dan kemudahan merawat klorin.
  • Melengkapkan setiap kandang dengan kemudahan ”nipple drinker” sebagai langkah menjimatkan penggunaan air.
  • Melengkapkan pagar yang lebih sempurna untuk ladang kelapa sawit (seluas 4 ekar) yang menjadi lokasi kandang ternakan sebagai langkah persediaan untuk menjalankan aktiviti semi-intensif.
  • Membeli sebuah lori muatan 2 metrik tan sebagai kemudahan pengangkutan.

Sekali lagi, jika sesiapa berminat untuk bekerjasama dengan kami, sila hubungi terus Puan An di talian 013 - 446 6944 atau email ke anzfarm@gmail.com.