Monday, September 10, 2007

Penangan Kenaikan Harga

Rata-rata ramai penternak, pengusaha dan pembekal merungut di atas kenaikan harga hampir sebahagian besar makanan ternakan. Lebih menggusarkan ada beberapa tempat, pengedar hampir kehabisan bekalan bila lewat menerima stok berbanding kebiasaannya. Penternak-penternak kecil seperti kita hanya terkebil-kebil. Ada yang hanya senyum sumbing garu kepala..... nak beli ke tak nak. Nak boikot? Umpama mentimun dengan durian. Digilis rosak, menggilispun rosak. Siapa yang nak dipersalahkan?

Dalam hal ni, tak siapa yang salah. Itulah lumrah perniagaan. Bila semua orang bercadang nak bela kambing, macam beli pisang goreng panas, maka permintaan terhadap barangan tupun sama-sama meletup. Sudahnya, kita sama-sama melopong.

Bagi pengeluar makanan pula, mereka pun tak salah. Tapi keadaan memaksa mereka. Dalam Malaysia ni hanya sebilangan kecil, saya kira tak sampaipun 2%, pengusaha projek ternakan mega yang memiliki ribuan ternakan kambing.... umpamanya Pusat Boer Negara atau seperti keratan NST di bawah. Tetapi, bayangkan keperluan bekalan makanan yang mereka perlukan setiap bulan. Kalau dah beli dengan banyak, adalah mustahil mereka mahu mendapatkan bekalan tersebut dengan harga yang sama seperti kita beli yang kadang kala setakat seratus dua kg (berbanding mereka yg mampu membeli seratus dua tan). Maka makin sempitlah margin keuntungan yang dapat dikecapi oleh pengeluar. Bagi menstabilkan harga, maka kerugian tu disalurkan kepada kita, penternak-penternak kecil. Kalau mereka dapat harga RM25 maka kita kenalah tanggung sebahagian perbezaan rugi. Entah-entah bila dikira-kirakan, akhirnya dapatlah kita pada harga RM32. Itupun kalau bernasib baik, bila pengusaha projek mega tu nak gandakan pesanan mereka dan mintak harga yang lebih rendah, maka kita gigit jari jelah.

Ramai yang menyuarakan pendapat supaya diwujudkan persatuan yang mampu membela nasib penternak seperti kita. Tapi ada pula 'nyamuk-nyamuk' mengkritik hebat kononnya persatuan kita takkan ke mana. Akhirnya, back to square one.

Sebenarnya, idea dan saranan yang didengar daripada penternak-penternak memang banyak yang boleh dipakaiguna malah kalau nak dikirakan memang mampu direalisasikan. Cuma dari segi perlaksanaan kita selalu main tarik-tarik tali. Bila rasa gagah kita tarik kuat, tapi bila agak-agak tak dapat tarik, kita lepas dan biarkan macam tu je. Jarang yang mahu buat secara all out. Bila perkara ni berlaku, yang berkobar-kobar jadi layu, yang tengah hangat jadi salju, yang suam-suam kuku langsung jadi beku. Kemudian, kita sorok-sorok muka menahan telinga bila kena bidas.

Saya juga ada bercadang untuk mengadakan dialog untuk penternak-penternak kecil. Buat masa ini saya sedang berusaha untuk merealisasikannya bersama JPH. Jika ada di antara saudara yang ingin bersama-sama melakukan khidmat komuniti ini, bolehlah hubungi anzfarm@gmail.com. Objektif kita cuma satu, kita ada tempat untuk mencurahkan bakti dan sama-sama dapat berjuang menjadi penternak tega yang berpengetahuan dan optimis. Mana tahu, secara tidak langsung kita mampu mewujudkan satu komuniti penternak yang boleh pergi lebih jauh melebihi pengusaha penternak mega. ITU TIDAK MUSTAHIL! Lihat saja di mana kedudukan Air Asia sekarang berbanding MAS!!!!! Fikirkanlah..............

Kesimpulannya di sini, penyelesaian sementara yang boleh kita lakukan..... carilah alternatif bekalan makanan tambahan atau semulajadi. Yang tak punya ruang utk menanam, ringan-ringankanlah mulut atau kaki mencari pembekal sisa pertanian seperti batang jagung, hampas soya, hampas gandum dan sebagainya. Ciptalah rumusan sendiri. Bagaimana? Belajarlah dari yang pandai....... usah kisah dari siapa. Sayapun masih belajar, maka belajarlah kita bersama-sama. Yang punya tanah tu, ringan-ringankanlah tangan meluaskan kawasan penanaman kita, atau paling kurang upahlah orang membuatnya, setidak-tidaknya kita sudah membantu orang lain menambahkan pendapatan. Kalau banyak, kita pula boleh tambah pendapatan. Setuju?

Wallahualam.

No comments: