Tuesday, November 28, 2006

If You Fail To Plan, You Plan To Fail - Part 1

Mendengar kata ucapan saudara Nordin Bin Mat dalam Seminar Memulakan Penternakan Kambing Secara Komersial di Malaysia dengan topiknya "Aspek Komersial dan Pemasaran Kambing" membuatkan saya berkobar-kobar dan begitu semangat. Begitu banyak info yang dikongsikan bersama untuk dijadikan sebahagian garis panduan yang boleh dimanafaatkan. Sebahagiannya juga membantu saya memperkuatkan lagi amalan penternakan yang telahpun kami gariskan untuk projek kami tu.

Secara ringkasnya, berbalik semula kepada apa yang pernah saya katakan berkali-kali sebelum ini, sebelum memulakan perniagaan dalam industri ini, kita mestilah menetapkan fokus dan matlamat kita dengan jelas. Dari situ barulah kita dapat memudahkan perjalanan biz kita di samping bersedia dengan segala kemungkinan yang akan kita hadapi.

Semasa saya menyiapkan Pelan Perniagaan saya sebelum ini, perkata utama yang menjadi topik perbincangan dengan JPH adalah analisa SWOT tentang projek yang kami jalankan. Mengenalpasti SWOT dapat memberikan gambaran asas apa yang kita fokuskan. Dan dari situ juga secara tidak langsung kita dapat membina satu persatu aspek yang perlu kita berikan tumpuan.

Dalam Seminar tersebut, beliau ada menyatakan antara faktor kegagalan bagi penternak-penternak adalah :-

>>>>> kegagalan memahami konsep sebenar penternakan kambing yang dijalankan.
>>>>> ketidakupayaan penternak meneruskan projek selepas 2 atau 3 tahun disebabkan masalah kewangan.
>>>>> dan paling utama kerana gagal mendapatkan pasaran.

Oleh itu, tetapkan konsep penternakan komersial yang menjadi tonggak perniagaan kita sebelum memikirkan corak pemasaran yang sesuai.
Antara konsep penternakan yang boleh dijadikan pilihan :

a) Pembiakan baka tulen - membiakkan kambing daripada baka-baka terbaik untuk menghasilkan anak-anak kambing yang boleh dijual sebagai baka. Baka yang dicadangkan adalah daripada baka Boer, Jamnapari, Saanen, Toggenburg, Anglo Nubian, Barbados, Dorper. Sebaiknya baka-baka tersebut mestilah mempunyai Sijil Pengesahan tentang ketulenannya.

Jumlah minimum yang disyorkan adalah 20 ekor induk dan 2 ekor Jantan. Modal permulaan RM150,000. Anggaran pendapatan bulanan RM9,500.

b) Pembiakan komersial untuk baka kacukan dan daging - bela induk kacukan dalam kuantiti besar dan guna baka pejantan tulen secara sistematik untuk hasilkan anak kambing dalam kuantiti yang banyak. baka kacukan yang dicadangkan adalah katjang, Boer, Jamnapari. Sementara baka pejantan adalah Boer, Jamnapari, Saanen, Anglo Nubian.

Anak kambing betina - dibiakkan di kandang atau dijual sebagai baka kambing kacukan.
Anak kambing jantan - digemukkan dan dijual untuk sembelihan.

Pembiakan hendaklah dilakukan secara sistematik bagi memastikan penambahbiakan genetik kepada lebih tulen dari generasi ke generasi.

c) Transit/Jual - beli kambing/bebiri daripada penternak atau pengimport untuk dijual bagi tujuan aqiqah, qurban, kenduri dan aktiviti keagamaan. Jenis kambing/bebiri - Feral, Merino, Katjang, Kambing Indonesia dsbnya.

Penternakan haruslah menetapkan harga belian dan jualan pada paras keuntungan antara RM50-RM200 seekor dan mensasarkan jualan 40 ekor - 100 ekor sebulan. Dan penternak haruslah memastikan kambing yang hendak dibeli kurang risiko untuk mati di kandang transit.

d) Fidlot dan jual - beli anak kambing jantan kacukan (kurang 20kg), digemukkan di kandang dan dijual bila cecah berat 50kg selepas 6 bulan. Anggaran pendapatan bagi 50 ekor minima adalah RM10,750 atau RM1,800 sebulan.

e) Kambing susu - jenis yang disarankan adalah Saanen, Toggenberg, Anglo Nubian. Kadar pengeluaran susu bagi baka kambing yang baik adalah di antara 4 liter - 7 liter sehari berbanding dengan kambing kacukan biasa antara 0.5 liter - 2 liter sehari.

Jumlah permulaan yang dicadangkan - 20 ekor betina tulen dan 2 pejantan tulen.

f) Pelan Persaraan - dimulakan 3 - 5 tahun sebelum bersara dengan jumlah 20 ekor - 30 ekor betina kacukan dan 1 ekor pejantan tulen. Jual anak-anak kambing jantan dan kekalkan semua kambing betina untuk dibiakkan. Selepas 5 tahun kambing tersebut boleh mencapai sehingga 500 ekor untuk diusahakan sepenuh masa selepas bersara dengan pulangan setiap bulan.

Di keluaran akan datang saya akan kongsikan sedikit tentang cadangan pemasaran berdasarkan konsep penternakan tersebut di atas. Jumpa lagi.

Sebahagian foto yang diambil semasa MAHA 2006. Akibat kesuntukan masa, ada banyak tapak pameran yang tidak sempat dirakamkan.

Monday, November 27, 2006

Berita Menarik Tentang Maha

Hari ini hari terakhir MAHA 2006. Mungkin ramai yang telah mengambil peluang meninjau peluang dan maklumat yang terkini berkaitan industri Pertanian, khususnya bahagian perternakan.
Saya juga sempat menjengah ke lokasi MAHA tersebut, walaupun dalam kesuntukan masa menguruskan beberapa perkara. Agak lewat saya ke sana pada hari kedua pameran tersebut. Bilangan pengunjung yang datang memang di luar jangkaan. Dari situ saya mengakui, rupanya ramai yang berminat dan mula membuka mata tentang peluang yang sedang mencapai momentum sihat ini. Tumpuan saya tentunya di Pintu 2 dan 3 yang mendedahkan banyak info tentang penternakan dan teknologi yang terlibat dalam industri ini.
Sambil mengumpul beberapa bahan ilmu, sempat juga berbual mesra dengan pengusaha dan peserta pameran tersebut. Banyak info berguna yang saya perolehi khususnya tentang perkara-perkara yang mungkin baru bagi saya. Pada yang baru menjinakkan diri, banyak buku dan CD panduan dijual disamping dapat berhubung terus dengan pembekal dan melihat sendiri hasil ternakan mereka.
Memandangkan hari hujan dan waktu saya melawat tu agak gelap, saya tak dapat menghabiskan banyak masa di situ. Rugi juga rasanya tidak dapat melawat keseluruhan tapak pameran. Namun saya masih berpuas hati kerana masa saya dapat terisi dengan pelbagai maklumat. Sempat juga berbelanja membeli beberapa bahan ilmiah dan supplies untuk ternakan.
Berikut beberapa berita tentang MAHA 2006, untuk tatapan anda.
>>>>>>Lagi berita MAHA 2006, akan datang.

Monday, November 13, 2006

Rule No. 2 : Bijaklah Berbelanja

Bila membincangkan tentang kos, ramai yang mengeluh bila terlalu banyak perkara yang kita sangkakan mudah rupanya lebih rumit daripada apa yang bakal kita hadapi. Saya juga mengambil masa lebih setahun untuk betul-betul bersedia dengan apa yang ingin saya lakukan.

Saya hampir putus asa bila mengenangkan kos perlaksanaan yang tinggi bila kita benar-benar ingin menjadikan sesuatu yang komersial. Tetapi alhamdulillah, selepas melalui beberapa proses, saya akhirnya akur dengan satu perkara asas....... iaitu FOKUS.

Apa fokus anda dalam biz ini. Apa yang anda mahu usahakan dan matlamat jangka panjang anda. Daripada fokus itu barulah kita boleh adjust dengan kemampuan dan keupayaan yang ada pada kita.

Contohnya,

1-Jika anda berhasrat untuk memasarkan hasil ternakan anda untuk tujuan aqiqah atau korban, tak perlulah anda membazirkan wang untuk membeli baka full blood yang sebegitu mahal. Memadailah anda membeli baka kacukan yang selalunya lebih tahan lasak dan sesuai dengan apa jua keadaan. Lagipun, baka import tersebut selalunya boleh mencecah berat sehingga 70-90 kg. Jadi adalah tidak praktikal anda pasarkan sebagai ternakan aqiqah mahupun korban, kerana harganya mungkin hampir sama dengan seekor lembu.

2-Anda perlu mengambil kira kepakaran dan keupayaan kita sebagai penternak. Bayangkan jika sesuatu berlaku kepada baka yang kita laburkan itu akibat kekurangan pengetahuan tentang pengurusannya, mungkin kerugian itu dapat dibahagikan jika kita melaburkan wang yang sama banyak untuk mendapatkan beberapa ekor baka lain yang lebih murah tapi berkualiti.

3- Daripada pengalaman saya, kita masih boleh mendapatkan baka yang baik (selalunya kacukan) serendah RM1000 untuk pejantan dan RM500 untuk induk bergantung kepada jenis yang dipilih. Tapi perlu juga diingatkan, mungkin ada yang menawarkan dengan harga yang lebih rendah, misalnya untuk kambing katjang, semuanya bergantung kepada fokus biz kita. Jika matlamat biz hanya memfokuskan kepada pasaran penduduk kampung, maka ia lebih praktikal melaburkan dalam sesuatu yang mampu diperolehi oleh pembeli kita.

4- Berbanding jika kita ingin menjadi pengusaha 'breeder', maka adalah lebih baik anda mendapatkan baka yang benar-benar berkualiti kerana penghasilannya nanti bergantung penuh pada baka yang anda sediakan. Namun ia tetap bergantung kepada jenis baka yang anda fokuskan.

5- Pakej yang selalunya ditawarkan oleh pengusaha-pengusaha sebenarnya boleh dijadikan sebagai garis panduan. Sebagai pengusaha mereka juga perlu mengambil kira keuntungan untuk perniagaan tersebut. Mengapa perlu kita melaburkan wang kepada perkara yang tidak sepatutnya. Ini adalah komen peribadi saya:

>>>>Jika kita boleh membuat pilihan, maka pakej itu masih boleh dipertimbangkan. Adakalanya pengusaha memberikan pilihan mengikut kadar yang tertentu, contohnya mengikut berat sebenar atau secara pukal. Atau menawarkan beberapa pilihan mengikut gred tertentu. Data-data ini bolehlah dibuat perbandingan dengan pengusaha lain yang menyediakan tawaran yang sama.

>>>> Begitu juga dengan perkara-perkara lain yang ditawarkan. Anda boleh membuat beberapa pertanyaan berdasarkan apa yang mereka berikan. Semasa buat perbandingan, anda perlu juga mengambil kira, tentang kesediaan stok (lead time), kos pengangkutan, jaminan tertentu (misalnya jika berlaku sesuatu pada ternakan ketika dalam perjalanan), atau beberapa perkara lain yang difikirkkan sesuai.

>>>> Kos kandang misalnya, jika kita berkemahiran membuatnya sendiri, banyak kos boleh dijimatkan. Tak perlu begitu obses menggunakan semua kayu yang baru (kecuali lantai, sebaiknya menggunakan kayu baru), dan perlu juga mengambilkira jumlah kambing yang kita ada. Eloklah dirancangkan dengan bijak. (rujuk post saya sebelumnya, bagaimana seorang pengusaha mampu menyiapkan kandang 100% tenaga sendiri seluas 40' x 90'). Dan post yang menarik tentang kandang ini juga, boleh didapati melalui blog sahabat kita "missiontothetop.blogspot.com".

>>>> Perkara yang paling utama, jika kita ingin dapatkan baka untuk tujuan perniagaan kita sendiri, jangan sekali-kali membelinya melalui pembekal 'trading' atau lebih tepatnya pihak ketiga. Adalah lebih baik berurusan terus dengan pengusaha ternakan itu sendiri. Mungkin kerjanya lebih rumit, tetapi perlulah kita ingat tentang biz kita untuk jangkamasa panjang. Lambat laun kita tetap perlukan mereka. Binalah rangkaian yang sihat demi kepentingan industri ini.

Wallahualam.

Artikel untuk hari ini :-

Bekas guru jual serunding daging jadi jutawan
Terengganu pengeluar terbesar kambing kacukan
Jadikan Terengganu negeri pertanian utama
Struktur Bank Pertanian dirombak

Thursday, November 09, 2006

Lagi Tentang Ternakan Kambing

Kesuntukan masa untuk membuat entry baru tidak mematahkan semangat saya untuk terus mencatatkan perjalanan biz kecil saya ni. Tambahan pula sejak akhir-akhir ni ramai yang menghantar email kepada saya meminta nasihat dan pandangan itu ini. Terdahulu saya ucapkan terima kasih di atas sokongan dan minat yang saudara-saudara semua tunjukkan.

Sekali lagi saya nyatakan di sini, saya juga masih baru dalam industri ini. Tetapi saya memang benar-benar serius. Ada yang menyatakan hajat untuk datang melawat ladang kami. Saya amat mengalu-alukan kedatangan tuan-tuan sekelian. Cuma buat masa ini, ladang kami masih dalam proses naik taraf. Tugas-tugas pengemasan dan penstrukturan untuk keseluruhan tapak ladang sedang giat dijalankan. InsyaAllah, jika segalanya berjalan lancar, ladang kami akan dibuka untuk lawatan selewat-lewatnya April 2007. (atau mungkin lebih awal).

Berikut saya selitkan sedikit artikel menarik tentang penternakan kambing untuk tatapan anda semua. Dan InsyaAllah, saya akan cuba menambahkan koleksi artikel berkaitan industri ini.

Giatkan Ternakan kambing Baka Baik (BH, 08 Apr 2006)
Biak Baka Kacukan (UM, 09 Apr, 2006)
Pusat Industri Tani Diwujudkan (UM, 09 Apr 2006)
Pusat Pengeluaran Kambing Boer Negara Dibuka 2007 (Utusan Online, 22 Ogos 2006)
MRCB, UPM Bangunkan Taman Tani Di Perak (Utusan Online, 22 Ogos 2006)

Selamat Berjaya.

Wednesday, November 08, 2006

Mulakanlah Langkah Pertama.....

Ada beberapa email yang saya terima bertanyakan tentang bagaimana untuk memulakan perniagaan ini. Satu soalan yang cukup subjektif sebenarnya, atau dengan lain perkataan, ia bergantung kepada penerimaan dan objektif masing-masing.

Cuma apa yang saya boleh kongsikan bersama di sini, bermulalah dengan "ilmu". Fahami dulu apa yang kita inginkan daripada perniagaan yang kita jalankan. Biar sekecil mana sekalipun, asalkan ada maksud yang nekad dan sentiasa beristiqamah...... Fokus itulah kuncinya.

Ada banyak kursus yang boleh kita ikuti. Bolehlah daftarkan diri dengan Jabatan Perkhidmatan Haiwan yang berhampiran dengan kawasan masing-masing. Cuma kadang-kala kita terpaksa menunggu giliran mengikut kuota yang telah ditetapkan. Kursus ini selalunya berjalan selama 5 hari dan ianya percuma. Surat tawaran akan dihantar kepada kita menyatakan tarikh dan tempat berkenaan. Pada yang bekerja, eloklah bersedia dengan cuti masing-masing.

Di samping itu, MARDI juga ada mengediakan kursus dalam bidang penternakan, malah mereka juga menyediakan kursus yang berkaitan dengan industri ini secara lebih menyeluruh dan terperinci. Kelebihannya kursus-kursus ini boleh diikuti mengikut kesesuaian masa kita, kerana kita diberikan pilihan masa dan tempat. Cuma bezanya anda perlu mengeluarkan kos antara RM800-RM1000 bergantung kepada jenis kursus.

Ada juga beberapa pengusaha yang menyediakan khidmat kursus intensif untuk bakal penternak. Misalnya pengusaha Jamnapari Malaysia (www.jamnapari.com) yang mengenakan caj RM500 untuk kursus intensif selama 3 hari 2 malam. Atau kita boleh mewujudkan rangkaian pengusaha ternakan kita sendiri sebagai rujukan kita di masa akan datang.

Atau kita boleh mengambil inisiatif membuat search sendiri melalui kuasa internet. Banyak info yang boleh kita garapkan. Saya sendiripun tidak banyak mengeluarkan modal. Selama setahun saya membuat kajian sendiri di samping berinteraksi dengan pengusaha yang berpengalaman. Tak rugi bertanya walaupun ada yang mengelak untuk menceritakan pengalaman sebenar. Lama kelamaan kita jadi serasi dan minat untuk lebih mengetahui kian bertambah.

Jika ada yang menyatakan minat untuk mengetahui lebih lanjut tentang Penternakan Kambing, saya memang terbuka untuk berkongsi cerita, sebabnya ilmu kita tak akan susut kalau kita menghebahkannya pada orang lain. Ada yang bimbang kita akan mencipta lebih banyak saingan. Pemikiran sebegini patutlah diketepikan. Sebab pemikiran sebeginilah yang akan membantutkan perkembangan perniagaan kita. Lebih banyak kita berinteraksi, sebenarnya lebih banyak pengalaman kita akan dapat, dan konsep pengurusan kita akan lebih matang.

Di samping itu, saya tidak malu untuk mengaku saya juga masih bertatih dalam bidang ini. Namun saya sentiasa berdoa semoga, kesungguhan ini akan memberikan saya jaminan bahawa setiap berkat sokongan dan restu orang tua saya yang mengiringi perjalanan saya dalam bidang ini mampu merealisasikan impian saya dalam tempoh 5 tahun akan datang.

Marilah kita sama-sama membina rangkaian yang boleh dimanafaatkan oleh anak bangsa kita dan untuk memberikan kesinambungan generasi akan datang.

Wallahualam.

Monday, November 06, 2006

Determination......

Orang kata "kalau takut dilanda badai, jangan berumah di tepi pantai". Sebarang jenis perniagaan yang kita mahu jalankan, semuanya berisiko. Hatta, untuk menyuapkan nasi ke dalam mulut sekalipun, kita kena bersedia dengan risikonya....... manalah tau, kot-kot tercekik tulang.

Sejak saya memulakan projek mini saya ni, pelbagai dugaan datang dan bersilih ganti. Saya akui adakalanya ia mungkin sedikit sebanyak mencabar kesabaran saya, tapi alhamdulillah.... mungkin usia ini banyak mematangkan.... setelah mengharungi pelbagai kesusahan yang lebih mencabar di masa lalu.

Agak lama saya tidak menulis.... kerana banyak urusan yang perlu saya lakukan. Tentunya berkaitan dengan projek mini saya tu. Baru saja memulakan Fasa ke-2, walaupun terdapat beberapa halangan, namun tetap berjalan lancar. Saya jangkakan saya dapat melaksanakan sepenuhnya selewat-lewatnya sebelum berakhirnya November ini. Kerana fasa seterusnya akan memakan masa lebih lama dan dijangka bermula Januari depan. InsyaAllah.

Akhirnya saya dapat merealisasikan penubuhan ANZ FARM INDUSTRIES (reg no. NS0020266-X) berkuatkuasa 30hb Oktober, 2006. Bermaksud bermulanya tanggungjawab kami sebagai usahawan yang benar-benar komited terhadap apa yang kami usahakan. Berkat kerjasama kedua orang tua saya dan sokongan daripada beberapa orang rakan dan sanak saudara terdekat, kami tambah bersemangat untuk meneruskannya dengan secebis doa agar usaha kami mendapat keberkatan.

Dalam usaha memantapkan persediaan kami dalam industri ini, kami cuba mengumpul dan mengembangkan rangkaian dengan bekerjasama dengan lain-lain pengusaha yang berpengalaman. Setidak-tidaknya kami dapat meluaskan pengetahuan di samping berkongsi permasalahan yang mungkin dapat membantu antara satu sama lain.

Saya sempat berkenalan dengan seorang lagi pengusaha yang baru menjalankan perniagaan ini selama 4 tahun tetapi telah menjadi contoh yang baik untuk diteladani oleh bakal pengusaha dan penternak yang baru berkenalan dengan bidangusaha yang amat menguntungkan ini.

Pada 30hb Oktober yang lalu, sambil menguruskan beberapa perkara rasmi, kami sempat mengaturkan pertemuan dengan pengusaha Ab. Halim Saniah Goat Farm iaitu En. Halim sendiri. Beliau yang bermula dengan seekor kambing jantan dan tiga ekor betina 4 tahun lalu, kini telah memiliki lebih kurang 500 ekor kambing pelbagai baka.

Apa yang buat saya tertarik kerana salah satu kandang beliau yang 100% dibina sendiri mengambil masa 2 tahun untuk disiapkan menggunakan bahan-bahan terpakai atau secondhand. Masa yang panjang itu sebenarnya mengambilkira bilangan kambing yang beliau miliki dari satu masa ke satu masa. Jadi banyak kos dapat dijimatkan dan mengelakkan pembaziran yang tidak sepatutnya.

Dan terkini, beliau bakal menerima bantuan tambahan sebanyak 400 ekor kambing daripada jabatan haiwan dalam masa terdekat. Betapa bangganya kami dengan semangat dan kegigihan beliau. Lebih-lebih lagi hanya beliau suami isteri yang mengusahakannya hingga mampu menyara pengajian kedoktoran tiga anaknya di luar negeri. Sejak enam bulan yang lalu beliau mengambil seorang pekerja bagi menampung keperluan tugasan yang kian bertambah.

Untuk 500 ekor kambing yang beliau miliki kini, kos pengurusannya tidaklah besar. Lebih kurang RM3,500 sahaja. Lebih kurang RM0.23 seekor sehari. Tentang pasaran pula langsung tiada masalah kerana permintaan sentiasa melebihi bekalan yang ada. Malah pelanggan beliau terpaksa menunggu mengikut waiting list. Hampir setiap hari, paling kurang 5 ekor ibu beranak dan adakalanya menghasilkan kembar hingga 3 atau 4 ekor. Kadar kematian yang rendah juga membantu perkembangan yang baik.



Inilah kandang yang mengambil masa 2 tahun untuk disiapkan.

Inilah kandang ke-3 hasil kerjasama JPH dan Risda

Pemandangan dalam kandang yang begitu bersih. Konsep ternakan intensif (kandang sepenuh masa) nampak mudah dan terurus tetapi memerlukan pengurusan yang bersistematik dan terancang bagi menjamin produksi yang bermutu.